RTC Melaka Membantu Menambah Pendapatan Rakyat

RTC Melaka Membantu Menambah Pendapatan Rakyat

23 Jun 2013 – RTC atau Pusat Transformasi Luar Bandar ialah pusat kemudahan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menggabungkan kampung-kampung yang berdekatan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti bercorak nilai-tambah yang tinggi. RTC Melaka turut memainkan peranan yang aktif bagi membangunkan tahap ekonomi rakyat. Sehubungan dengan itu RTC Melaka dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah mengadakan kursus jangka pendek Asas Kek dan Kuih Tradisional selama 3 hari untuk 22 orang peserta terdiri daripada ibu tunggal, suri rumah, pesara dan graduan. Kursus diadakan di Jabatan Pemprosesan Makanan, Institut Skill-Tech Cawangan Taman Tasik Utama, Melaka.

Objektif utama program ini adalah untuk menggalakkan peserta menjalankan perniagaan bermula secara kecil-kecilan dalam bidang penyediaan makanan bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Disamping itu peserta digalakkan “network” sesama sendiri serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

Para peserta telah diajar untuk membuat 3 jenis cheese cake iaitu Japanese Cheese Cake, Chocolate Cheese Cake dan Blueberry Cheese Cake. Manakala untuk kuih traditional pula, peserta telah diajar cara-cara untuk membuat kuih talam berlauk, kuih puteri ayu, kuih bakar dan kuih tepung pelita.

Disamping ilmu pembuatan kuih, para peserta juga didedahkan kepada subjek asas keusahawanan dan motivasi. Diantara tajuk yang diberi perhatian ialah bagaimana mendaftarkan perniagaan, mengenalpasti bakal pelanggan, pembungkusan dan label, berkomukasi dengan pelanggan dan perniagaan secara ‘on-line’.

Terdapat beberapa orang peserta yang telah memulakan perniagaan dan kursus ini dapat membantu mereka terus maju didalam perniagaan mereka. Dengan adanya kursus seperti ini dan dengan bimbingan yang jitu dari pihak Institut Skill Tech lebih ramai lagi wanita akan melibatkan diri dalam perniagaan yang mana ianya boleh bermula dari rumah secara kecil kecilan dahulu.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Institut Skill-Tech, Puan Sharimah Hussain.