Lawatan Wanita UMNO Sabah Ke Kampus Utama Institut Skill-Tech

Lawatan Wanita UMNO Sabah Ke Kampus Utama Institut Skill-Tech

5 Disember 2011- Institut Skill-Tech telah menerima lawatan rasmi dari delegasi Wanita UMNO Sabah pada 5 Disember 2011 yang lalu. Lawatan seramai 43 orang wanita UMNO dari Semporna ini diketuai oleh Puan Manis Muka Binti Mohd Dara yang merupakan Bendahari wanita UMNO Sabah. Beliau juga diiringi oleh Siti Sadiah Bt Haji Amin, Setiausaha Wanita UMNO Semporna dan beberapa AJK UMNO yang lain. Turut hadir ialah Cik Khadiza Binti Abd. Rahman, Pegawai Pembangunan Perniagaan Dan Pelaburan, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Rombongan yang tiba pada jam 11.30 pagi telah disambut meriah oleh warga dan pelatih Institut Skill-Tech dengan iringan paluan kompang ke Dewan Terbuka. Para tetamu di sajikan dengan persembahan menarik iaitu tarian Dondang Sayang dan Mangunatib dari Kelab Muzik Skill-Tech sebagai pembuka acara. Kemudian ditayangkan persembahan multimedia untuk memberi gambaran secara menyeluruh Institut Skill-Tech kepada semua pelawat. Aturcara diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, En. Nordin Bin Malek dan Puan Manis Muka Binti Mohd Dara, Bendahari wanita UMNO, Sabah.

Seterusnya semua pelawat di bawa melawat ke tapak praktikal dan projek pelatih. Mereka kelihatan teruja melihat ramai anak muda yang berminat dalam bidang pertanian ini. Antara tapak yang di lawati ialah Tanaman, Ladang, Ruminan dan Akuakultur. Pelawat juga di bawa ke tempat pameran dari Unit Pemprosesan Makanan dan Bioteknologi.

Suasana mesra antara wanita UMNO dan warga institut juga dapat dilihat semasa majlis makan tengahari apabila mereka menawarkan diri untuk membuat persembahan khas dari budaya mereka sendiri iaitu tarian ‘ilang-ilang’ untuk tatapan warga Skill-Tech. Suasana bertambah gamat apabila ada pelatih dari institut juga menari bersama-sama mereka dan ini menunjukkan warga muda juga tidak lupa budaya asal usul mereka.

Kami warga Skill-Tech mengucapkan terima kasih di atas lawatan rasmi dari Wanita UMNO, Sabah ini.