Lawatan Rumah Seri Kenangan Cheng

Lawatan Rumah Seri Kenangan Cheng

8 Jun 2012 – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Ya, merekalah dua orang insan yang mulia itu. Bertuahnya setiap insan yang dikurniakan mereka ini yang mana sejak lahir hinggalah ke saat ini, merekalah insan yang benar-benar menyayangi kita tanpa mengharapkan sebarang balasan. Tanpa mereka siapalah kita…? Tanpa mereka, akan lahirkah kita untuk melihat keindahan dunia hari ini…? Ayah dan ibu…Bapa dan emak…Abi dan Ummi…

Namun kadangkala jasa dan pengorbanan mereka tidak dihargai. Ada warga emas yang terbiar tanpa penjagaan sempurna dari insan tersayang dan ada juga mereka menjadi gelandangan tanpa bumbung tempat berteduh. Sempena sambutan Hari Ibu pada bulan Mei dan sambutan Hari Bapa pada bulan Jun setiap tahun, Staf dan warga Institut Skill-Tech mengambil inisiatif mengadakan lawatan dan mengadakan sesi beramah mesra dengan warga emas Rumah Seri Kenangan di Cheng, Melaka. Rumah Seri Kenangan ini berperanan menyediakan kemudahan kepada warga tua yang tidak mempunyai saudara mara dan ia juga menyediakan tempat pemulihan kepada pengemis. Rumah Seri Kenangan, Cheng dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka. Pelbagai kemudahan disediakan kepada warga tua seperti peralatan bantuan berjalan, surau, kerusi roda dan kemudahan makan minum percuma.

Kebanyakan penghuni rumah Rumah Seri Kenangan , Cheng berusia dalam lingkungan 60 tahun hingga 80 tahun. Seramai 198 orang penghuni di rumah kebajikan yang tergolong daripada  kaum Melayu, India, Cina dan kaum lain. Lawatan yang disertai oleh staf dan pelatih Institut Skill-Tech yang diketuai oleh Cik Nuryufiza binti Yusoff telah disambut dengan perasaan penuh gembira oleh kaun ibu dan bapa di situ. Wajah-wajah keriangan sentiasa terpancar di sebalik garis-garis halus dan kedutan wajah-wajah mereka disepanjang lawatan tersebut.  Lawatan ini bertujuan untuk memupuk semangat kasih sayang , menghormati terhadap warga emas dan  warga Skill-Tech boleh mengambil iktibar dari pengalaman warga emas di rumah tersebut. Lawatan ini mampu memberi kesedaran dan keinsafan kepada staf dan pelatih mengenai hala tuju mereka pada masa akan datang.

Sesungguhnya, kami sayang ibu, kami sayang ayah…