Anugerah Khas kepada Institut Skill-Tech oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sempena MAHA Youth 2011
27 Mei 2011 – Putrajaya. Kejayaan Institut Skill-Tech melatih dan melahirkan ramai belia tani melayakkan Pengerusi Eksekutifnya,Nordin Abdul Malek menerima Anugerah Khas Usahawan Belia Tani daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada majlis Karnival MAHA Youth sempena Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya.
Pengiktirafan tersebut adalah hasil komitmen Skill-Tech melatih hampir 2,000 orang pelatih pertanian setahun menerusi kampus Melaka dan cawangan Sabah. Keberkesanan latihannya juga berjaya melahirkan usahawan dan pekerja mahir sektor pertanian di Malaysia.
“Anugerah ini adalah satu cabaran baru kepada kami untuk meningkatkan kualiti latihan terutama memastikan graduan kami benar-benar mampu memenuhi kehendak pasaran kerja pertanian. Bagi mereka yang sudah berjaya menjadi usahawan pula,kami sentiasa memikirkan bagaimana hendak memperbesarkan perniagaan mereka”,kata Nordin.
Institut Skill-Tech adalah satu-satunya institusi latihan kemahiran pertanian swasta dan terbesar di Malaysia. Penekanan latihan bercorakkan kemahiran dan persekitaran pertanian sebenar berjaya melahirkan tenaga kerja terlatih dan usahawan tani di seluruh negara.