Pelancaran Program Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB)
Tanggal 2hb April 2012 merupakan satu lagi tarikh yang bersejarah bagi Institut Skill-Tech dengan pelancaran Program Sabah YAB di Bandaraya Kota Kinabalu. Disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hj Musa bin Hj Aman majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Pertanian Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin dan Datuk Jainab Ahmad Aiyid, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat dan juga Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd Tahir bersama pegawai kanan Agrobank dan pegawai-pegawai kerajaan. Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Encik Nordin Abdul Malek bersama seluruh kakitangan Institut turut menghadiri majlis yang gilang gemilang itu.
Sabah YAB ini merupakan inisiatif Institut Skill-Tech untuk membangunkan lebih ramai lagi usahawan pertanian generasi muda dikalangan graduannya. Pihak Institut sedar banyak kekangan yang dihadapi oleh graduan muda untuk memulakan atau mengembangkan aktiviti pertanian mereka supaya menjadi satu perniagaan yang lebih mantap dari segi komersial, berdaya saing dan berdaya maju. Oleh itu pihak Institut telah memohon peruntukan khas dari program dana MyAgrosis yang dikendalikan oleh Agrobank supaya di beri laluan keutamaan kepada projek-projek bekas graduan Institut.
Peruntukan awal sebanyak RM1.0 juta telah disediakan oleh pihak Agrobank khas untuk pelatih pelatih dari Institut dan amaun ini akan ditambah lagi sekiranya ada permintaan dari pihak Institut dan graduan Institut.
Pada majlis tersebut Pengerusi Agro Bank, Tan Sri Faizah Mohd Tahir telah menyerahkan replica cek peruntukan awal pinjaman RM1.0 juta untuk Program Sabah YAB kepada Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Encik Nordin Abdul Malek.
Memandangkan keberkesanan program latihan kemahiran ini dikalangan pelatih-pelatih Institut Skill Tech Sabah maka kerajaan negeri telah meluluskan tanah sebanyak 500 ekar untuk dibangunkan sebagai pusat latihan dan ladang berkelompok.