Lawatan Kerja Menteri Besar Perak Ke Sangkar Ikan Institut Skill-Tech Tasik Raban, Perak

Lawatan Kerja Menteri Besar Perak Ke Sangkar Ikan Institut Skill-Tech Tasik Raban, Perak

Lenggong 24 Mac – Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry bin Haji Abd Kadir telah membuat lawatan kerja ke sangkar ikan Institut Skill-Tech susulan lawatan kerja beliau ke Daerah Kecil Lenggong. Turut hadir bersama rombongan ialah ADUN Kota Tampan, Dato’ Haji Shaarani bin Mohamad dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ Ganesan a/l Retanam.

Semasa lawatan itu Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Encik Nordin bin Abd Malek telah memberi penerangan terperinci tentang Institut Skill-Tech dan seterusnya bidang kerjasama di antara Institut dan Majlis Daerah Lenggong yang di antaranya ialah :

a) Mengambil alih pengurusan RnR Raja Muda Nazrin, Tasik Raban sejak 1 Nov 2009 sebagai Institut Skill-Tech Cawangan Lenggong di Perak khusus untuk bidang Akuakultur dan Homestay (Inap Desa).

b) Membangunkan laman sesawang Pelancongan Lenggong (www.pelanconganlenggong.my) untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang terdapat di Lenggong ke serata dunia.

c) Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) sebagai sebuah hub pertanyaan dan informasi mengenai tempat tarikan pelancong yang ada di sekitar Lenggong dan Perak secara amnya.

Disamping itu, Dato’ Seri juga telah diberi taklimat berhubung projek sangkar ikan Institut Skill-Tech di mana terdapat 66 sangkar dan sebanyak 130,000 ekor ikan Tilapia Merah dapat diternak pada satu-satu masa. Projek ini telah beroperasi mulai April 2010 dan ikan-ikan ternakan ini telah pun mula dipasarkan sejak penghujung tahun 2010 di sekitar Lenggong, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Melaka. Ikan yang diternak melalui kaedah sangkar di sini dijamin halal, suci dan bersih serta tiada rasa hanyir dan bau lumpur kerana keadaan air yang sentiasa mengalir.

Selepas upacara menandatangani plak lawatan oleh Dato’ Seri MB, pihak rombongan telah disajikan dengan buah durian yang dibawa khas dari Kg. Gajah, Perak. Pada akhir lawatan, Encik Nordin menyampaikan cenderahati merupakan produk-produk keluaran Jabatan Pemprosesan Makanan Institut Skill-Tech kepada Dato’ Seri Dr. Zambry.