Lawatan Biotek ke Felda

Lawatan Biotek ke Felda

21 Mei 2012- Satu lawatan sambil belajar ke Felda Biotechnology Research Centre yang disertai oleh 2 orang tenaga pengajar dan 9 orang pelatih SKM Bioteknologi Tahap 2 telah dibuat baru-baru ini. Pusat Penyelidikan Bioteknologi milik Felda ini terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Objektif utama lawatan sambil belajar ini dijalankan adalah untuk mendedahkan pelatih tentang suasana pekerjaan sebenar di dalam bidang bioteknologi selain menimba ilmu secara tidak formal. Di samping pendedahan tentang penemuan-penemuan baru dalam bidang penyelidikan bioteknologi, mereka juga turut didedahkan kepada peluang-peluang keusahawanan.

Rombongan lawatan telah disambut oleh Pengarah pusat penyelidikan sendiri, Dr Siti Habsah bt Roowi. Pengarah pusat juga telah memberi satu taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan syarikat serta keperluan, kepentingan dan tujuan Felda untuk turut serta menceburi bidang penyelidikan Bioteknologi. Pegawai penyelidik Felda juga turut melakukan demonstrasi proses-proses pengkulturan produk kelapa sawit dan pisang dengan disusuli lawatan berpandu ke makmal Bioteknologi dan kawasan-kawasan sekitar.

Sikap ramah dan layanan mesra serta sifat suka berkongsi ilmu oleh Pengarah dan kakitangan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Felda amatlah dihargai dan ia amat berguna kepada tenaga pengajar dan pelatih Bioteknologi untuk lebih gigih berusaha untuk bersama-sama memperkembangkan dan membangunkan bidang Bioteknologi.