Jom Bina Menara

21 April 2012 – Amalan mengitar semula bahan-bahan terbuang barangan kegunaan harian masih belum menjadi budaya rakyat Malaysia dan masyarakat masih menganggap bahan terbuang tidak mempunyai apa-apa nilai. Persepsi dan gaya hidup ini perlu ditukar kerana sememangnya bahan-bahan terbuang ini boleh diubah dan mampu menjadi barangan yang bernilai tinggi. Secara tidak langsung dengan mengitar semula bahan-bahan buangan, masyarakat juga akan turut membantu menjaga alam sekitar daripada berterusan dicemari sisa buangan manusia.

Bagi menyahut kempen ‘Kitar Semula’ dan menanam sifat kitar semula dalam diri para pelatih, satu pertandingan ‘Jom Bina Menara’ telah dianjurkan oleh Jabatan Bioteknologi. Pertandingan ini dijalankan serentak dengan pertandingan ‘Fashion Show King & Queen of Recycle yang dijalankan oleh Jabatan Homestay. Tema kedua-dua pertandingan tersebut ialah ‘Kitar Semula, Flora dan Fauna’.  Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengurus Besar Institut Skill-Tech, Puan Zalinawati Othman pada pukul 9.00 pagi. Taklimat pertandingan telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Bioteknologi, Puan Faralina Mohd Arsad.

4 orang juri terlibat mengadili pertandingan terdiri dari Pengurus Besar, Pengurus Pusat Bertauliah, Puan Kasnanwati Ahmad Adnan, Ketua Unit Pemasaran, Cik Amira Hamran dan Eksekutif Kewangan, Cik Fadhilah Mohd Saleh. Perasmian penutup bagi pertandingan tersebut disempurnakan oleh Pengarah, Puan Che Sharimah Che Hussain pada pukul 1.00 petang diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Johan pertandingan disandang oleh Jabatan Akuakultur, diikuti oleh Jabatan Seni Bina Landskap di tempat kedua, dan Jabatan Penyeliaan Ladang memenangi tempat ketiga.

Syabas dan tahniah kepada semua staf dan pelatih yang bersama-sama menjayakan aktiviti kali ini. Pertandingan seumpama ini telah berjaya mencungkil bakat dan kreativiti pelatih-pelatih seterusnya menggalakkan pertandingan dan persaingan yang sihat di antara mereka.